Pemilik kilang, Hisham Kaaki berkata, setiap jemaah haji akan menggunakan kira-kira satu kilogram ais setiap empat hari dan bilangan jemaah yang perlu dibekalkan berjumlah dua juta pada tahun ini.

“Kilang ais kini mengalami masalah besar ekoran cuaca panas dan musim haji,” katanya sambil menambah, kilang berdepan ke­sukaran untuk menghantar bekalan ais ke Tanah Suci itu.

Pakar pemakanan, Manal Hawsawi mencadangkan pemilik kilang menggunakan kenderaan dilengkapi alat penyejuk untuk memastikan ais yang hendak dihantarnya sentiasa beku apabila sampai kepada pelanggannya.

Dalam perkembangan lain, pro­ses pemodenan Mekah yang bertujuan menampung 30 juta jemaah menjelang tahun 2030 menyaksikan sejumlah 60 buah kawasan sekitarnya terpaksa ‘dikorbankan’.

Setiausaha Agung Pihak Ber­kuasa Pembangunan Mekah, Khaled Fida berkata, kawasan tersebut diruntuhkan bagi pembesaran Masjidilharam dan kawasan sekitarnya.

Penulis sejarah, Saad Al-Shareef memberitahu portal Arab News, sebelum ini kawasan Gaza merupakan salah sebuah kawasan paling popular di Mekah yang menyediakan hotel dan bangunan untuk jemaah haji tidur, makan dan mela­kukan urusan lain.

“Kawasan itu, kini dipenuhi dengan pejabat sementara untuk jurutera dan peralatan serta kemudahan projek terbabit,’’ katanya.

Datuk Bandarnya, Fahd Al-Harbi, begaimanapun berkata, kawasan Ajyad dan Ray Bakhsh tidak mengalami banyak perubahan sekali gus membolehkan kepada orang ramai untuk melihat kawasan bersejarah dan cara penduduknya memberi perkhidmatan kepada jemaah haji sejak berdekad-dekad lalu.