Mail Online melaporkan, saintis menemukan fosil spesies baharu ikan purba berkaki itu yang dikenali sebagai hongyu chowi di sebuah kuari di Ningxia, utara China.

Ikan aneh berukuran 1.5 meter panjang itu mempunyai ciri-ciri yang sama dengan dua lagi kumpulan berasingan ikan bersirip lobus dengan satu daripada haiwan terbabit berubah menjadi binatang berkaki empat.

Malah, fosil itu mengandaikan bahawa lebih banyak spesies bere­volusi untuk hidup di darat berban­ding andaian saintis sebelum ini.

Penyelidik dari Institut Paleontologi Vertebrata dan Paleoantropologi di Beijing percaya, hongyu chowi tidak mudah disesuaikan de­ngan pemahaman terkini tentang ‘evolusi ikan bersirip lobus’.

Fosil itu dipercayai hi­dup semasa Zaman Devon di China atau dikenali sebagai Zaman Ikan iaitu berusia antara 360 dan 270 juta tahun.

Saintis sebelum ini percaya ikan bersirip lobus itu bere­volusi menjadi haiwan ber­tulang belakang yang mempunyai empat anggota kaki atau tetrapod kira-kira 360 juta tahun dahulu.

Tetrapod merangkumi setiap binatang yang telah pupus dan haiwan berkaki empat termasuk amfibia, reptilia dan mamalia.

Bagaimanapun, penemuan hongyu chowi itu mengubah persepsi berkenaan kerana mempunyai ciri dua kumpulan ikan bersirip lobus lain yang dipercayai telah pupus.

Saiz hongwu chowi dan beberapa bentuk tulang fosil ber­kenaan didapati sama dengan ikan ‘Rhizodont’, kumpulan ikan bersirip lobus pemangsa yang telah pupus dan elpistostegids.