Menurut Pengarah Pelancongan Al-Jawf, Dr. Jahz al-Shammari, tapak penempatan itu dipercayai wujud sejak lebih sejuta tahun lalu dan merupakan kawasan berpenghuni pa­ling tua di Semenanjung Arab.

“Beberapa bukti arkeologi me­­nunjukkan kawasan tersebut wujud ketika era Babylon dan Assyria.

“Penemuan beberapa fosil juga menunjukkan tapak pe­nem­patan Shuweihtia mungkin sudah wujud pada zaman Paleo­litik atau Zaman Batu La­ma,” katanya.

Selain itu, ahli arkeologi men­dedahkan kawasan tapak penempatan tersebut turut menyimpan beberapa peralatan yang digunakan oleh manusia ketika itu untuk mendapatkan bekalan air serta makanan.

Jelas Jahz, usia sejarah sesuatu tempat itu ditentukan oleh bahan yang digunakan oleh manusia pada zaman tersebut.

Katanya, zaman paling tua adalah Zaman Batu yang me­nyaksikan manusia ketika itu menghasilkan banyak peralatan harian menggunakan batu, selain zaman tersebut dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu Zaman Batu Lama, Bawah, Pertengahan dan Moden.