Seorang pegawai Israel berkata, kelulusan itu termasuk kebenaran pembinaan unit di bandar utama Tebing Barat di Hebron yang merupakan kali pertama dibangunkan sejak beberapa tahun.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, sebanyak 3,736 buah rumah akan diluluskan dalam pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan.

Beliau tidak menjelaskan me­ngenai tempoh dan pecahan lokasi tetapi menambah penempatan itu akan dibina di seluruh Tebing Barat termasuk Hebron dan Migron serta Beit El berhampiran Ramallah.

“Secara keseluruhan, kira-kira 12,000 buah penempatan akan diluluskan pada tahun 2017 di pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan, empat kali ganda berbanding jumlah pada tahun lalu,” katanya.

Menurut media Israel, majlis perancangan penempatan dijangka bertemu minggu depan untuk meluluskan sekurang-kurangnya sesetengah daripada pelan terbabit dan jika penempatan Hebron diluluskan, ia adalah kali pertama untuk bandar selatan Tebing Barat sejak tahun 2002.

Hebron dihuni kira-kira 200,000 rakyat Palestin dengan 800 peneroka tinggal dalam perlindungan tentera Israel di beberapa penempatan dikawal ketat di tengah bandar.

Seorang pegawai AS berkata, White House tidak akan bertindak balas terhadap pengumuman atau laporan berkenaan tetapi dasar negara itu terhadap pembinaan penempatan haram masih tidak berubah. – AFP