Menurut Gabenor Bali I, Made Mangku Pastika, jumlah penduduk yang meninggalkan rumah terlalu tinggi dan hanya mereka yang tinggal pada jarak sembilan kilometer dari gunung itu seharusnya berada di pusat pemindahan sementara.

“Tiada sebab untuk penduduk yang tinggal di zon selamat untuk berpindah. Mereka perlu kembali ke kampung masing-masing kerana mereka bakal menjadi beban,” katanya.

Tambah beliau, hanya 70,000 orang berada pada jarak sembilan kilometer daripada gunung berapi yang mula aktif itu.

Sementara itu, jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, hampir separuh daripada penduduk dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.

“Hanya penduduk dari 27 kampung perlu berpindah. Selebihnya mereka boleh pulang,” jelasnya.

Pusat pengendalian Vulkanologi dan Geologi Indonesia pula berkata, aktiviti Gunung Agung masih kekal tinggi tetapi stabil.

“Terdapat kurang daripada 200 gegaran antara waktu tengah malam dan 6 pagi hari ini. Kita sedang memantau sejak Rabu dan Khamis lepas,” katanya.

Gunung Agung yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta, mula aktif sejak Ogos lalu dan mencetuskan kemungkinan amaran tahap tertinggi.

Sementara itu, para sukarelawan sedang bertungkus-lumus menyelamatkan puluhan ribu binatang ternakan dan haiwan peliharaan ke kawasan zon selamat.

Ada juga penduduk yang sebelum ini enggan berpindah kerana bimbang terhadap binatang ternakan mereka. – AFP