Laman web Bangkok Post melaporkan, mereka melahirkan rasa tidak puas hati tersebut selepas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, semalam mengumumkan kerajaan sedang menimbangkan untuk membina pusat tahanan untuk Rohingya dan pelarian terbabit.

Datuk Bandar Cha-uat, Nakhon Si Thammarat; Prin Panjin berkata, pihaknya kini mengenal pasti lokasi bagi kem tersebut jika rancangan itu diluluskan.

‘‘Penduduk tempatan marah apabila timbul cadangan kem tersebut akan dibuka di pasar pusat dan kuil.

‘‘Kesan pembukaan kem tersebut tidak diketahui, namun penduduk tempatan akan menanggung kesannya. Masalah mungkin melibatkan penyebaran penyakit, kesan kepada sistem kesihatan awam sehinggalah keadaan huru-hara,’’ katanya.

Datuk Bandar Patong, Phuket; Chairat Sukban berkata, satu pungutan suara perlu diadakan untuk mengkaji pandangan penduduk berhubung rancangan tersebut.

Beliau memberi amaran perbezaan agama antara penduduk tempatan yang beragama Buddha dan Rohingya yang beragama Islam mungkin menimbulkan masalah.

Sementara itu, Menteri Luar, Jeneral Tanasak Patimapragorn berkata, kerajaan Thailand bersedia membantu menangani masalah yang menjadi punca pelarian melarikan diri dari negara asal mereka.

‘‘Thailand bersedia membantu negara asal pelarian. Kita boleh adakan perbincangan dengan mereka mengenai masalah yang mereka hadapi. Kami bersedia menghantar pasukan-pasukan ke Malaysia dan Bangladesh untuk membantu menangani masalah itu,’’ katanya kepada laman web The Nation.

Beliau berkata, Thailand kini perlu memaklumkan kepada dunia bahawa negara ini hanyalah pusat transit dan bukan destinasi pelarian walaupun beberapa pegawai negara ini terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Tanasak berkata, pendekatan jangka panjang untuk menangani isu pelarian terutama pelarian Rohingya, termasuk negara asal perlu memastikan rakyat mereka gembira dengan kehidupan mereka.