Tentera Myanmar berkata, pertempuran itu menyaksikan seramai 370 pejuang Rohingya terbunuh termasuk 13 anggota keselamatan, dua pegawai kerajaan dan 14 penduduk awam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai kira-kira 38,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh seminggu selepas kumpulan pejuang Rohingya menyerang pos kawalan polis dan pangkalan tentera Myanmar di Rakhine.

“Sehingga 31 Ogos, seramai 38,000 etnik Rohingya memasuki Bangladesh untuk menyelamatkan diri daripada keganasan yang berlaku,” katanya.

Pasukan tentera Bangladesh kini menjalankan operasi menentang ‘kumpulan pengganas’ selain dikerahkan untuk menjaga keselamatan orang ramai.

Bagaimanapun, operasi berke­naan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Rohingya yang memasuki Bangladesh sekiranya tentera negara ini bertindak untuk menghalau mereka keluar.

Penduduk Rohingya yang mela­rikan diri ke Bangladesh berkata kempen membakar rumah dan pembunuhan dilakukan dengan tujuan supaya mereka melarikan diri daripada kampung yang diduduki.

Penindasan yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap Rohingya menjadi cabaran terbesar untuk pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi yang sebelum ini dikritik ekoran tidak membela nasib golongan minoriti tersebut.

Pada tahun 2012, pertempuran ganas yang berlaku di Sittwe me­nyaksikan hampir 200 etnik Rohingya dibunuh dan menyebabkan 140,000 yang lain kehilangan tempat tinggal.

Lidah rasmi Myanmar, Global New Light semalam melaporkan lebih 150 pejuang Rohingya melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan berhampiran perkampungan penduduk beragama Hindu yang menyebabkan sebanyak 700 keluarga di kampung tersebut dipindahkan.

“Empat pejuang berjaya ditahan termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan polis menahan dua individu berhampiran pos kawalan Maungdaw ekoran disyaki terlibat dalam serangan yang dilancarkan,” ujar laporan tersebut.

Selain menggunakan jalan da
rat, penduduk Rohingya turut menggunakan sungai untuk masuk ke negara ini dan pasukan pengawal sempadan Bangladesh semalam menemukan mayat 20 wanita dan kanak-kanak yang dipercayai lemas selepas bot yang mereka naiki untuk masuk ke negara ini karam. – REUTERS