Portal berita Russia Today melaporkan, bandar Raqa ketika ini kelihatan seperti medan pertempuran dengan kebanyakan bangunan runtuh dan tidak sesuai untuk dihuni masyarakat.

Jalan utama di bandar itu juga dipenuhi serpihan runtuhan bangunan sehingga menyukarkan kenderaan melalui kesemua jalan tersebut.

Seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Khawla memberitahu, mereka duduk di celah runtuhan bangunan dan sehingga kini tiada pihak tampil untuk membantu membangunkan semula Raqa.

Seorang lagi penduduk, Fayyad Omar Mayel berkata, mereka berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih serta terputus bekalan elektrik sejak peperangan menentang militan Daesh berlaku.

“Kami tiada bekalan air, elektrik, telefon atau perkhidmatan talian. Semua penduduk di Raqa mungkin sudah bebas daripada Daesh, namun hidup kami sengsara dalam kemusnahan,” katanya.

Penduduk tempatan turut mendakwa pasukan SDF sehingga kini tidak membaik pulih bangunan yang runtuh dan membersihkan semua sisa runtuhan.

Seorang bekas guru, Mohammd Junaid berkata, tentera kerajaan seolah-olah mengabaikan mereka tanpa keperluan asas mencukupi di bandar yang sudah musnah.

Jelasnya, mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mengupah pihak berkaitan membersihkan sisa runtuhan serta membaiki sedikit demi sedikit infrastruktur yang musnah dalam peperangan.

“Apa yang kami tahu adalah tentera pakatan bertanggungjawab terhadap semua kemusnahan yang berlaku kerana mereka mendakwa ingin membebaskan Raqa daripada Daesh dan kini Daesh sudah dikalahkan.

“Namun, sehingga kini mereka tidak menghulurkan sebarang bantuan kepada penduduk dan kami amat memerlukan bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

habis