Menurut laporan Bangkok Post, banyak kawasan di wilayah itu masih ditenggelami banjir dan paling teruk adalah di Ban Lam Talum Puk di daerah Pak Phanang dan Muang.

“Apabila saya pulang semula ke rumah, saya hampir pengsan. Keadaan rumah saya sangat teruk,” kata Paijit Kaeowan, 61, dari Ban Lam Talum Puk.

Bumbung rumahnya tercabut manakala dinding rumah juga musnah akibat siklon tropika yang melanda kawasannya sejak kelmarin.

Menurut Paijit, semua peralatan elektrik dan barangan berharga lain di rumahnya juga musnah.

“Saya sekeluarga tidak pernah berdepan dengan bencana sebegini. Segalanya musnah dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan kehidupan,” katanya.

Jelasnya, tiada pihak yang datang menghulurkan bantuan setakat ini.

Perkara sama turut diluahkan oleh seorang lagi penduduk, Usa­pon Meechai, 46, yang mendesak kerajaan menghulurkan pampasan atau membantu dalam kerja-kerja pembersihan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Nakhon Si Thammarat memberitahu, mereka hanya boleh membuat anggaran kasar kerosakan seperti jumlah pokok dan tiang elektrik tumbang selain memerlukan masa menilai kerugian di 16 buah daerah.

Sekurang-kurangnya empat terbunuh - tiga di Nakhon Si Thammarat dan seorang di Pattani - apabila Pabuk membadai pesisir daerah Pak Phannang dan wilayah lain sejak kelmarin.

Sementara itu, The Times of India melaporkan, pihak berkuasa India mengeluarkan amaran Jingga di Laut Andaman dan Kepulauan Nicobar apabila Pabuk menghampiri kawasan berkenaan.