Difahamkan, gunung berapi yang terletak di Pulau Kadovar, kira-kira 24 kilometer ke utara tanah besar Papua itu mula memuntahkan laharnya sejak 5 Januari lalu hingga memaksa 590 penduduk tempatan dipindahkan serta-merta ketika itu.

Balai Cerap Gunung Berapi dalam buletinnya memaklumkan, letusan terbaharu itu bagaimanapun bermula sejak kelmarin.

Susulan letusan terbabit, pihak berkuasa PNG dikatakan bersetuju memindahkan penduduk berhampiran ke Pulau Blup Blup yang terletak tidak jauh dari situ sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketika ini, Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa turut me­nyalurkan bantuan sebanyak 87,000 kina (RM104,838) bagi kerja-kerja pemindahan.

“Bantuan ini termasuk penyediaan makanan, air, tempat perlindungan dan pakaian kepada mangsa-mangsa yang dipindahkan,” kata Setiausaha Agungnya, Uvenama Rova.

Dalam perkembangan berasi­ngan, kerajaan Filipina pula telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga selepas Gunung Berapi Mayon di Albay, wilayah tengah Filipina mula mengeluarkan debu, semalam.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sejumlah penduduk dari dua kawasan perkampungan berhampiran lokasi gunung berapi itu juga telah dipindahkan ketika ini.

Gunung berapi Mayon pernah merekodkan sejarah hitam pada Februari 1841 apabila aliran lavanya menenggelamkan sebuah pekan kecil hingga mengorbankan kira-kira 1,200 penduduk.

Kali terakhir gunung tersebut dilaporkan meletus ialah pada 2014. – REUTERS