Hukuman tersebut dilaksa­na­kan oleh penduduk di San Buenaventura, bandar kecil di utara Bolivia melalui hak perlembagaan mereka yang dikenali sebagai ‘keadilan sosial’.

Baru-baru ini penduduk bandar tersebut telah memasung Datuk Bandar, Javier Delgado selama sejam untuk menunjukkan kepada pemimpin itu bahawa mereka ti­dak berpuas hati dengan perkhidmatan yang dilaksanakan.

Gambar Delgado yang dipa­sung kakinya dengan dikelilingi penduduk yang marah telah tular di media sosial dan laman berita di Amerika Selatan sejak hujung bulan lalu.

Pada 25 Februari lalu, Delgado sepatutnya merasmikan sebuah jambatan yang dibina menggunakan dana majlis perbandaran dan kerajaan namun apabila tiba di kawasan terbabit orang ramai yang hadir bukannya untuk me­nyaksikan upacara itu sebaliknya mahu ‘mengajar’ beliau.

Tanpa sebarang penjelasan, penduduk berkenaan bertindak mengheret Delgado dan mema­sung kakinya, lapor portal Oddity Central.

“Mereka tidak memberi pelu­ang kepada saya untuk mendapatkan penjelasan tentang tindakan mereka namun saya tidak melawan kerana tahu keadaan akan menjadi bertambah teruk jika bertindak melulu,” katanya.

Menurut Datuk Bandar itu, pen­duduk terbabit kemudian mem­beri peluang untuknya mem­beri penjelasan dan akhirnya mereka meminta maaf kerana mendapati telah dimanipulasi dan diberi maklumat salah oleh ‘pihak ter­tentu’.

‘Pihak tertentu’ itu, kata Delgado, adalah musuh politiknya dan usahawan tempatan yang cuba menjejaskan kerja yang te­lah dilakukan dalam tempoh dua tahun perkhidmatannya kepada masyarakat.

Namun kata seorang pendu­duk bandar itu, Daniel Salvador melalui Radio Fides, Delgado dihukum kerana tidak memenuhi tanggungjawabnya, menipu dan tidak meletakkan masyarakat setempat sebagai keutamaan ketika diminta untuk melakukannya.

Ini merupakan hukuman ketiga menerusi hak keadilan sosial buat Delgado sepanjang tempoh per­­khid­matannya sebagai Datuk Bandar dengan kali pertama be­liau telah dipasung beberapa bulan selepas memegang jawatan itu.

Hukuman kali kedua berlaku apabila penduduk setempat me­ngam­bil alih pejabatnya selama dua bulan dan Delgado yang bimbang tentang keselamatannya terpaksa melarikan diri ke bandar berdekatan sehinggalah Suruhanjaya Pihak Berkuasa Penduduk Tempatan berjaya menyelesaikan konflik berkenaan.

Seperti masyarakat tempatan lain di Bolivia, penduduk San Buenaventura melaksanakan pen­tadbiran bandar menerusi tiga prinsip asas iaitu ‘tidak boleh malas, tidak boleh menipu dan tidak boleh menjadi pencuri’ malah peraturan itu telah termaktub dalam perlembagaan negara sejak 2009.