“Mereka (penduduk) melihat antara 500 hingga 1,000 mayat di sini (Marawi),” kata Zia Alonto Adiong kepada pemberita hari ini.

Menurut tentera Filipina, seramai 290 orang terbunuh sepanjang tempoh berkenaan dengan 206 daripadanya dikenal pasti sebagai anggota kumpulan militan Maute, 58 anggota tentera serta 26 orang awam.

Sementara itu, jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera memberitahu, seorang daripada adik-beradik Maute telah ditahan awal pagi ini.

Katanya, Mohammad Noaim Maute ditahan di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran bandar pesisir Cagayan de Oro, kira-kira 100 kilometer dari Marawi selepas subuh.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada tujuh adik-beradik Maute termasuk Omarkhayam dan Abdullah yang memimpin kumpulan mi­litan itu bagaimanapun dipercayai masih berada di bandar ini.

Difahamkan, ibu bapa mereka telah ditahan di dua lokasi berbeza dekat sini sejak minggu lepas.

Dalam perkembangan berasi­ngan, seorang wartawan televi­syen Australia di Marawi dilaporkan terselamat walaupun terkena tembakan di bahagian leher.

Adam Harvey yang berkhidmat untuk Australian Broadcasting Corporation memuat naik status bertulis ‘Bernasib baik’ dalam akaun Twitter miliknya yang disertakan dengan imej sinaran-X menunjukkan peluru yang tersangkut di lehernya.

“Terima kasih semua, saya selamat. Peluru itu masih berada dalam leher saya, namun saya bernasib baik kerana ia tidak mengenai bahagian penting,” katanya. – AGENSI