Jurucakap ICRC, Dorothea Krimitsas yang berpangkalan di Geneva berkata, situasi di Gaza “sangat-sangat berbahaya”.

Menurutnya, perkhidmatan ambulans hampir lumpuh kerana ia tidak dapat beroperasi disebabkan peningkatan operasi ketenteraan di wilayah itu.

“Dalam kebanyakan kes, ambulans langsung tidak dapat bergerak untuk menyelamatkan mangsa kerana serangan peluru serta mortar yang bersimpang-siur.

“Ramai mangsa yang cedera meninggal dunia ketika menunggu ketibaan ambulans atau maut di ruang menunggu di unit kecemasan hospital,’’ kata Krimitsas.

Sehingga kini, 580 penduduk Palestin maut dalam serangan tentera Yahudi manakala lebih 2,700 cedera termasuk ramai yang parah.

Menurutnya lagi, perkhidmatan perubatan berada dalam tekanan kerana ramai kakitangan tidak dapat ke tempat kerja selain jumlah pesakit yang terlalu ramai di bilik kecemasan dan unit rawatan rapi.

“Hospital-hospital di Gaza telah kehabisan vaksin serta bekalan darah dan keadaan itu sebenarnya sangat meruncing.

“Setakat ini sekurang-kurangnya dua buah hospital di Gaza kehabisan bahan api untuk generator elektrik iaitu satu-satunya sumber untuk bekalan elektrik di sana,’’ jelas Krimitsas lagi.

Kata beliau, bekalan air bersih juga semakin berkurangan dengan banyak telaga yang musnah akibat dibedil oleh tentera Yahudi.

Hampir separuh penduduk Gaza kini terancam apabila bekalan air bersih semakin berkurang selain bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Sementara itu, sepasukan empat pegawai kesihatan ICRC termasuk seorang pakar bedah dibenarkan masuk ke Gaza dari Israel semalam selepas terkandas di sempadan selama tiga hari.

“Mereka dijadual membantu kakitangan hospital di Shifa terutama melakukan pembedahan kompleks.

“Mereka juga membawa vaksin tetanus untuk kanak-kanak selain bekalan darah namun ia tetap tidak mencukupi sekiranya Israel terus mengenakan sekatan ke atas Gaza,’’ tegasnya.

– AFP