Menurut akhbar The Age, berpuluh ribu penunjuk perasaan yang memakai pakaian serba hitam, kuning dan merah berkumpul di Melbourne manakala be­ribu-ribu lagi mengadakan ban­tahan di Sydney, Brisbane, Ade­laide dan Perth.

Bagi kebanyakan masyarakat Orang Asli di negara itu, 26 Januari dianggap sebagai ‘Hari Pencerobohan’ kerana bermulanya penjajahan British ke atas tanah milik mereka.

“Saya di sini untuk meng­ingati kesemua Orang Asli yang dibunuh ketika peringkat pertama penempatan orang berkulit putih di negara ini,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Neville Scarlet kepada The Age.

Menurut kenyataan polis ne­geri New South Wales, walaupun kebanyakan perarakan bantahan berada dalam situasi terkawal, tetapi di Sydney, seorang lelaki berusia 20 tahun telah ditahan.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, beliau tidak akan menyokong penukaran tarikh Hari Australia, yang disambut sebagai cuti umum oleh semua rakyat negara itu.

“Semua orang berhak memberikan pandangan mereka tetapi saya berfikir kebanyakan rakyat negara ini menerima bahawa 26 Januari adalah Hari Australia,” katanya kepada pemberita di Canberra. – REUTERS