Mail Online mela­por­kan, rakaman insiden yang berlaku di rumah contoh Ashton Woods dekat Drover View Trail di utara Fort Worth, Texas pada 2 April lalu mula di­siarkan polis bandar itu bagi mengesan suspek.

Berdasarkan rakaman itu, kedua-dua pencuri berkenaan dirakam mengucapkan tahniah antara satu sama lain selepas berjaya me­nurunkan televisyen ter­babit dari dinding rumah tersebut tanpa menyedari gelagat mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Pencuri itu dipercayai memasuki bilik berkenaan kira-kira pukul 5.27 pagi dan bergelut untuk menanggalkan perkakas ter­babit dari dinding namun peralatan tersebut kemudian berjaya dikeluarkan dengan bantuan rakannya.

Menurut polis Forth Worth, televisyen berke­naan dicuri dari bilik tidur di tingkat atas rumah berkenaan sebelum suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta sedan berwarna putih.

“Adakah anda kenal pencuri televisyen ini,” tulis polis dalam status Facebook mereka beserta video kejadian tersebut.

“Mereka masuk ke sebuah rumah contoh, pergi ke tingkat atas dan mencuri televisyen LCD dan berjabat tangan selepas mencuri televisyen itu. Kekal bergaya kalian,” tambah polis lagi.

Mereka yang mengena­li suspek tersbeut boleh menghubungi polis di ta­lian 817-3923183.