Portal berita independent.co.uk melaporkan, pemimpin terbabit, Maxine Waters menulis di Twitter mendakwa Pence bersiap sedia dengan tindakan pemecatan Trump dan sedang merancang untuk mengambil alih jawatan Presiden.

“Pence berada di suatu tempat merancang perasmian pelantikan. Bekas Ketua Staf, Reince Priebus dan bekas Setiausaha Akhbar Trump, Sean Spicer akan mengetuai peralihan kuasa tersebut,” kata Waters merujuk kepada dua ahli terbaharu White House yang meletak jawatan.

Waters adalah ahli politik AS pertama mendakwa bahawa gangguan seksual yang didakwa dalam dokumen ugutan Rusia yang tidak disahkan terhadap pemimpin AS itu adalah benar.

Dokumen itu mendakwa kerajaan Rusia mempunyai maklumat seksual dan kewangan yang menjejaskan mengenai Trump.

Dua ahli Kongres Demokrat, Al Green dan Brad Sherman memfailkan artikel pemecatan pertama terhadap Trump pada 12 Julai lalu.

Mereka mendakwa Trump menghalang keadilan dengan memecat Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey semasa siasatan terhadap campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden dijalankan.

Namun percubaan untuk memecat Presiden hanya akan berlaku jika majoriti ahli Dewan Perwakilan dan majoriti dua pertiga di Senat meluluskannya.

Pence yang didakwa menjauhkan dirinya daripada skandal melibatkan jurucakapnya, dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan beliau tidak akan memberi tumpuan kepada kisah-kisah sebelum menyertai kempen Trump.