Agensi penyiaran BBC mela­porkan, penemuan ini dapat mem­bantu berjuta-juta orang yang tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih.

Grafena adalah sejenis karbon dalam bentuk yang paling ‘tulen’ dengan struktur hampir telus kepada cahaya kerana saiznya sangatlah nipis iaitu sama dengan satu atom.

Grafena oksida sangat berkesan untuk menuras garam dan kini akan diuji kecekapannya berbanding membran penyah garam sedia ada.

Ketua pasukan penyelidik dari Manchester Universiti, Dr. Rahul Nair berkata, pasukan yang diketuainya telah menyelesaikan beberapa cabaran menggunakan derivatif bahan kimia yang dikenali sebagai grafena oksida.

Jelas Nair, grafena terdiri daripada satu lapisan atom karbon disusun dalam kekisi segi enam dan mempunyai sifat luar biasa seperti kekuatan tegangan luar serta daya pengaliran elektrik.

“Pada tahun 2025 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan bahawa 14 peratus daripada penduduk dunia akan menghadapi kekurangan air.

“Sebagai kesan perubahan ik­lim terus mengurangkan bekalan air bandar, negara-negara besar juga melabur dalam teknologi penyahgaraman.

“Ini adalah demonstrasi pertama kami di mana kami boleh mengawal jarak liang pada membran dan boleh melakukan pe­nyahgaraman. Sebelum ini tidak boleh. Lepas ini kita akan ban­dingkan bahan ini dengan bahan tercanggih yang ada dalam pasaran,” katanya kepada BBC.

“Secara saintifik, grafena dihasilkan mengguna teknologi nano dan ia bakal menukar penggunaan bahan penapis sedia ada seperti silikon, plastik, kaca dan bahan lain yang kita guna sekarang.

“Sebenarnya telah beberapa de­kad ahli sains berteori mengenai grafena namun ia dihasilkan di dalam makmal hanya bermula pada tahun 2004,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang pakar penyelidik dari Amerika Syarikat (AS), Ram Devanathan berkata, walaupun penemuan ini menga­gumkan namun lebih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menghasilkan membran grafena oksida yang murah.

Tambahnya, ahli-ahli sains juga diperlukan untuk menunjukkan ketahanan membran bersentuhan dengan air laut untuk jangka masa lama bagi memastikan membran mempunyai daya tahan kepada garam dan bahan biologi.

“Pemisahan terpilih molekul air dari ion oleh sekatan jarak fizikal memberi ruang kepada pro­ses sintesis membran murah untuk penyahgaraman,” ujarnya.