Ia berlaku selepas sokongan pengundi beralih arah kepada kerajaan berhaluan tengah kanan pimpinan Perdana Menteri Yukio Hatoyama, sekali gus menyebabkan LDP semakin lemah menjelang pemilihan dewan tinggi Julai ini.

Kumpulan serpihan LDP yang diketuai bekas menteri kewangan, dijangka akan disertai bekas menteri-menteri perdagangan dan pengangkutan ketika ia menarik lebih ramai pemimpin politik yang berpaling tadah dan kumpulan itu turut mendapat pujian Gabenor Tokyo yang gemar berterus-terang.

LDP dan pemimpin konservatifnya yang menjalin hubungan teguh dengan perniagaan besar dan terkenal dengan birokrasi, memerintah Jepun sebagai negara satu parti untuk hampir keseluruhan tempoh selepas perang sehingga pilihan raya diadakan pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, populariti Hatoyama dan partinya, Parti Demokratik Japan (DPJ) dilihat menjunam sejak memerintah pada September lalu, walaupun pihaknya menjanjikan pembaharuan 'rakyat didahulukan'.

Tinjauan terbaru mendapati Kabinet Hatoyama hanya mendapat 30 peratus sokongan, jauh lebih rendah berbanding 70 peratus sokongan sebelum ini, tetapi masih lebih berbanding sokongan yang diperoleh LDP.

Hatoyama, yang berasal dari keluarga pemimpin berpengaruh yang kaya, dikritik kerana kepandaiannya, gaya hidup mewahnya dan sikapnya yang teragak-agak dalam mengendalikan isu penting antaranya pertelingkahan dengan sekutu utama Washington berhubung kedudukan sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Jepun. - AFP