Cadangan pendaftaran itu bakal melibatkan mereka yang memiliki dron seberat lebih 250 gram.

Laporan BBC yang memetik Menteri Pengangkutan Udara negara ini, Lord Martin Callanan sebagai berkata, langkah ini bertujuan untuk memberi keutaman kepada melindungi orang awam dan memaksimumkan potensi penggunaan dron.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan tentang garis panduan atau tarikh penguatkuasaan pen­daftaran itu kerana ia masih di peringkat awal.

Callanan berkata, pengguna dron perlu lebih ber­waspada dan tidak mener­bangkannya sesuka ha­­ti tan­pa kelulusan bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Ujian kesedaran ke­selamatan dron akan me­merlukan pemilik membuktikan mereka benar-benar antara lain memahami undang-undang keselamatan dan peraturan privasi,” katanya.

Beliau berkata, dron terbukti semakin penting dalam kerja-kerja memeriksa pembaikan infrastruktur pe­ngangkutan atau membantu polis dan bomba dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat, tetapi terdapat juga segelintir pihak yang me­nyalahgunakannya.

Sehingga kini, tiada kemalangan besar yang berlaku melibatkan dron tetapi pihaknya ada menerima beberapa laporan mengenai penggunaan dron untuk menghantar dadah kepada banduan.

Peraturan yang hampir sama pernah dicadangkan di Amerika Syarikat, tetapi mendapatkan tentang pelbagai pihak sehingga menyebabkan kes berkenaan di bawa ke mahkamah pada bulan Mac lalu.

Berikutan itu, mahkamah memutuskan peraturan itu tidak boleh diguna pakai kepada dron bukan komersial.