Imran Ali, 24, dituduh membunuh Zainab Fatima Ameen di bandar Kasur pada bulan lalu dan mayatnya ditemukan di tempat pembuangan sampah di bandar berkenaan pada 9 Januari lalu.

Menurut Pendakwa Raya, Ihtesham Qadir, mahkamah menjatuhkan hukuman mati berasingan terhadap tertuduh bagi tuduhan merogol dan membunuh kanak-kanak itu termasuk tuduhan melakukan keganasan.

Di bawah undang-undang negara ini, perbuatan jenayah yang menyebabkan ketakutan terhadap masyarakat boleh didakwa atas tuduhan keganasan.

Imran turut dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan denda berjumlah 3.2 juta rupee (RM116,737) atas tuduhan menyembunyikan mayat mangsa.

Sebanyak satu juta rupee daripada denda itu akan diserahkan sebagai pampasan kepada keluarga mangsa, kata Pendakwa Raya, Abdul Rauf Wattoo.

Tertuduh turut berhadapan dengan tuduhan lain iaitu menyerang sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak di bandar Punjab, lima daripadanya telah dibunuh.

Lelaki itu mengaku terhadap lapan tuduhan menyerang termasuk serangan yang membawa kematian Zainab.

Pembunuhan kanak-kanak itu mencetuskan kemarahan di seluruh Pakistan dengan tunjuk perasaan diadakan di Kasur selain beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu balai polis dan membakar rumah ahli politik serta bantahan turut dimuat naik dalam media sosial.

Menurut bapa mangsa, Ameen Ansari, tertuduh yang tinggal berhampiran rumahnya turut menyertai tunjuk perasaan yang diadakan selepas mayat Zainab ditemukan. - AFP

habis.