Pemilihan U Htin Kyaw, 69, seorang yang peramah dan pernah bersekolah di tempat sama dengan Suu Kyi, serta kini membantu pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu mengendalikan yayasan kebajikan kendaliannya, menamatkan spekulasi sejak beberapa bulan lalu tentang siapakah calon Presiden Myanmar yang baharu, selepas NLD menang besar dalam pilihan raya umum negara ini pada tahun lalu.

“Ini merupakan langkah pen­ting dalam memenuhi kehendak dan jangkaan pengundi yang menyokong NLD,” kata Suu Kyi dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web parti itu, sambil meminta rakyat menyokong matlamat NLD secara aman.

Kebanyakan penduduk ­Myanmar berharap Suu Kyi akan dilantik sebagai Presiden, meskipun ikon demokrasi itu pernah berikrar bahawa beliau akan memerintah negara itu ‘melebihi’ Presiden.

Namun, selepas rundingan selama beberapa bulan dengan pihak tentera berhubung pembentukan kerajaan campuran, pertemuan itu masih gagal mencapai kata sepakat berhubung isu tersebut, sekali gus menyukarkan hasrat pemimpin demokrasi ber­kenaan untuk menjadi Presiden.

Ini kerana, terdapat satu peruntukan dalam Perlembagaan Myanmar yang membatalkan kelayakan mana-mana individu untuk menjadi Presiden, sekiranya calon itu mempunyai ahli keluarga yang memiliki kerakyatan asing, dan kedua-dua anak Suu Kyi bersama mendiang suaminya merupakan rakyat Britain.

Sementara itu, dua calon lain akan turut dikemukakan NLD dengan satu nama lagi adalah wakil daripada Dewan Tinggi, manakala satu lagi calon daripada pihak tentera yang menguasai satu perempat daripada badan perundangan Myanmar itu.

“Saya ingin mencadangkan U Htin Kyaw daripada parti NLD sebagai Presiden,” umum Khin San Hlaing, seorang anggota Parlimen NLD di Dewan Rendah dan turut mengumumkan seorang calon lain daripada Dewan Tinggi.

Walaupun Htin Kyaw hampir pasti dilantik sebagai Presiden baharu Myanmar dengan mendapat sokongan padu daripada anggota Parlimen yang dikuasai NLD, pengesahan rasmi tentang perkara itu akan mengambil tempoh beberapa hari. – AFP