Laporan dari Jerman meng­andaikan, lelaki berusia 28 tahun itu bergelut untuk mengatasi masalah putus cinta yang dialami­nya dengan sengaja menjunamkan pesawat Airbus A320 itu ke Banjaran Alps mengakibatkan 149 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Teori itu muncul hanya beberapa jam selepas polis yang menyiasat nahas itu mengumumkan bahawa mereka membuat ‘pe­nemuan penting’ semasa mengeledah apartmen Lubitz selama empat jam, dan dia dikatakan berkongsi kediaman itu dengan teman wanitanya.

Pegawai penyiasat, bagaima­napun enggan mendedahkan butiran tentang kemungkinan itu, namun menegaskan bahawa penemuan itu bukanlah satu nota bunuh diri, lapor Mail Online.

Malam tadi, polis menggeledah kediaman keluarga Lubitz di sebuah bandar kecil di utara Frankfurt dan sebuah apartment di Dusseldorf dan merampas sebuah komputer, komputer riba dan beberapa keping fail yang difahamkan menjadi tempat Lubitz menghabiskan kebanyakan masanya.

“Kami menemukan sesuatu yang akan diambil untuk diperiksa. Kami tidak boleh menyatakan perkara itu buat masa ini, namun penemuan itu mungkin menjadi petunjuk penting tentang apa yang berlaku. Kami berharap penemuan itu dapat memberikan beberapa penjelasan,’’ kata seorang jurucakap polis yang enggan dikenali.

Serbuan ke atas rumah Lubitz dipercayai dibuat selepas Pendakwa Raya Marseille, Brice Robin dalam sidang medianya mendedahkan maklumat daripada Perakam Suara Kokpit (CVR) bahawa Lubitz memang mahu memusnahkan pesawat Germanwings 4U 9525 itu.

Seorang sumber keselamatan berkata, sejurus menyedari pesawat itu sedang menjuman, kapten kapal menggunakan sebilah kapak untuk masuk ke kokpit selepas pintu kokpit itu dikunci dari dalam oleh Lubitz.

Semalam, majikan Lubitz me­ngaku bahawa pembantu juruterbang itu berjaya melepasi ‘jaringan keselamatan’ dan dia tidak sepatutnya terbang.

Selain itu, Lubitz yang gemarkan kecergasan itu dipercayai mengalami kemurungan dan ‘keletihan’ yang boleh menjejaskan kariernya dalam bidang itu.

Bagaimanapun, tidak disangka dia berjaya melepasi semua penilai­an psikologi dan dianggap layak untuk terbang.