Antara undi Parlimen yang dipersoalkan adalah kekalahan kerajaan Konservatif berhubung satu inkuiri terhadap skandal sektor perbankan Australia.

Satu inkuiri ke atas bank-bank Australia yang dikritik hebat dibuat selepas berlaku penipuan melibatkan penggubahan wang haram, nasihat kewangan yang mengelirukan, penipuan insu­rans dan kadar faedah dan diluluskan oleh Dewan Tertinggi Senat tahun ini namun kekurangan satu undi untuk dibawa ke Dewan Rendah.

Kerajaan kehilangan satu kerusi majoriti di Dewan Rendah Jumaat lalu selepas sebuah mahkamah memutuskan Timbalan Perdana Menteri, Barnaby Joyce hilang kelayakan untuk kekal di Parlimen kerana memiliki dua kerakyatan, bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Selain itu, bekas rakan sejawatan Kabinet Joyce, Fiona Nash bersama tiga ahli politik lain turut menerima nasib serupa.

Pemangku pemimpin Parti Buruh Australia, Tanya Plibersek berkata, keputusan itu menimbulkan keraguan terhadap undi yang dibuat oleh Joyce dan Nash semasa inkuiri perbankan terbabit diadakan.

“Kita akan melihat kesemua pilihan yang kami ada. Kami bimbang tentang fakta bahawa Bar­naby Joyce telah mengundi pada masa beliau sepatutnya tidak berada di Parlimen dan kami kehilangan undi kerana itu,” kata­nya.

Joyce pernah berkata, kebanyakan keputusan itu dibuat oleh Kabinet secara bersama berbanding dibuat oleh dirinya secara peribadi dan sepatutnya kekal sah.

Menurut Plibersek, saman ke atas kerajaan itu boleh difailkan oleh mana-mana pihak yang kecewa dengan keputusan itu.

Beliau turut mencabar undi dimenangi kerajaan dengan majoriti tipis yang menyaksikan pemotongan kadar gaji kepada beberapa pekerja semalam ketika keputusan yang dibuat oleh Joyce dan Nash dalam kapasiti mereka sebagai Menteri.

Ini termasuk keputusan untuk menempatkan semula ibu pejabat jabatan kerajaan ke kawasan Parlimen Joyce dan peruntukan hak air dan pelan skim internet laju kebangsaan.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, George Williams berkata, isu itu tidak begitu jelas dan mahkamah perlu berhati-hati melihat keputusan yang dibuat oleh kerajaan sejak Ogos lalu terutama apabila Joyce dan Nash menyedari mereka mungkin memiliki dua kerakyatan. – AFP