Agensi berita Korea Utara, KCNA berkata, pemimpin Kim Jong-un telah memantau ujian itu selain mengesahkan keupayaan enjin bahan api pepejal peluru berpandu terbabit yang dinamakan sebagai Pukguksong-2 dan boleh untuk digunakan.

Korea Utara ketika ini mengabaikan gesaan banyak pihak termasuk China supaya menghentikan program peluru berpandu dan nuklear negara itu dengan menegaskan senjata itu perlu bagi mempertahankan diri.

Kali terakhir Pyongyang menguji peluru berpandu negara itu adalah minggu lalu.

“Dengan rasa bangga, kadar sasaran peluru berpandu ini agak tepat dan Pukguksong-2 merupakan sebuah senjata strategik yang berjaya,” kata Jong-un yang dipetik KCNA.

Ujian itu juga mengesahkan kebolehpercayaan dan ketepatan operasi bahan bakar pepejal dan sistem sasaran peringkat akhir peluru berpandu yang dirakam oleh peranti yang diletak pada kepala peledak.

“Melihat imej bumi yang dihantar dalam masa nyata daripada kamera diletakkan pada kepala peluru berpandu milik Korea Utara itu, Kim Jong-un berkata beliau gembira melihat bumi yang kelihatan indah,” KCNA.

Penggunaan bahan api pepejal memberikan kelebihan kepada peluru berpandu Korea Utara kerana bahan api tersebut adalah lebih stabil dan boleh dibawa dengan mudah di dalam tangki senjata berkenaan untuk membolehkan pelancaran dibuat pada masa yang singkat.

Tentera Korea selatan berkata, peluru berpandu Pukguksong-2 yang dilancarkan semalam itu mampu mencapai jarak kira-kira 500 kilometer (km) dan mence­cah ketinggian 560km, sebelum jatuh di perairan pantai timur Korea Utara.

Katanya, ujian itu menyediakan data yang bermakna kepada program peluru berpandu Korea Utara tetapi sejauh mana pyongyang telah dapat menguasai teknologi memasuki semula ang­kasa lepas atau re-entry untuk menjadikannya senjata berkesan memerlukan analisis tambahan.

Menurut KCNA, ujian baharu itu susulan kejayaan pelancaran peluru berpandu minggu lalu yang menjadikan Hawaii dan Alaska berada dalam jangkauan senjata terbabit. – REUTERS