Menurut BBC, Disember ini me­ru­pakan peluang terakhir untuk mereka berbuat demikian apabila pergerakan Bulan dilaporkan semakin sampai pada titik paling hampir dengan Bumi hingga menyebabkan fenomena itu terjadi.

Tahun lepas, pergerakan Bulan direkodkan sebagai paling hampir dengan Bumi sejak 1948 dan fenomena yang sama didakwa tidak akan berulang lagi hingga 25 November 2034.

Para pengkaji bintang memberitahu, Bulan akan menjadi tu­juh peratus lebih besar dan 15 pe­ratus lebih terang ketika supermoon berlaku.

Ahli astronomi daripada Royal Astronomical Society, Robert Massey pula mendakwa, supermoon akan menjadi paling terang pada waktu tengah malam apabila ia sampai ke titik paling tinggi di kaki langit.

Dalam pada itu, supermoon secara tradisi juga dikenali sebagai fenomena Bulan ‘sejuk’.

Berlaku pada tengah hari semalam, fenomena itu terjadi apabila kedudukan Bulan berada bertentangan dengan matahari pada jarak 358,499 kilometer (km) dari Bumi.

Kedudukan tersebut dikatakan lebih hampir berbanding jarak purata yang dianggarkan sebelum ini iaitu sekitar 384,472km.

Menurut Massey, pemanda­ngan paling mempesonakan ialah ketika Bulan ‘terbit’ pada tengah hari semalam serta ‘terbenam’ awal pagi ini.

“Fenomena ini sangat indah dan kamu pasti tidak akan me­nyangka bahawa Bulan itu akan menjadi lima kali lebih besar berbanding biasa. Kita akan dapat menyaksikan fenomena serupa pada 1 Januari dan 31 Januari ini,” katanya.