Rancangan kerajaan untuk membangunkan kampung penduduk yang dibakar itu sekali gus menimbulkan kebimbangan akan prospek kepulangan 480,000 orang pelarian ke tanah air mereka dan berlakunya penghapusan etnik di wilayah bergolak berke­naan.

Menteri Pembangunan Sosial, Bantuan dan Penempatan Se­mula, Win Myat Aye berkata, berdasarkan undang-undang negara, kawasan yang terlibat dalam kebakaran akan menjadi tanah yang diuruskan oleh kerajaan.

Mengulas mengenai undang-undang pengurusan bencana, Myat Aye yang juga ketua sebuah jawatankuasa yang ditugaskan bagi melaksanakan cadangan untuk menyelesaikan konflik di Rakhine berkata, beliau dalam satu mesyuarat bersama pihak berkuasa semalam menyifatkan pembangunan semula itu akan menjadi sangat berkesan.

Katanya, undang-undang itu menyatakan kerajaan akan menyelia pembangunan semula di kawasan yang musnah akibat bencana termasuk konflik.

“Berdasarkan undang-undang, kawasan yang terlibat dalam kebakaran menjadi tanah yang diuruskan oleh kerajaan,” kata Myat Aye.

Bagaimanapun tiada hurai­an lanjut mengenai rancangan atau akses buat etnik itu sekiranya mereka kembali ke kampung lama mereka.

Myat Aye pada masa sama enggan mengulas lanjut mengenai rancangan tersebut.

Kumpulan hak asasi manusia yang menggunakan imej satelit ke atas Rakhine mendakwa, lebih 400 buah kampung Rohingya di utara Rakhine dibakar dalam keganasan yang bermula 25 Ogos lalu.

Pelarian Rohingya di Bangla­desh mendakwa tentera dan kum­pulan pelampau Buddha Rakhine melancarkan kempen keganasan ke atas etnik berkenaan selain membakar kediaman mereka bagi mengusir Rohingya keluar dari Myanmar.

Kerajaan Myanmar bagaima­napun menafikan dakwaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa mereka melancarkan kempen penghapusan etnik ke atas Rohingya sebagai tindak balas kepada serangan terancang kumpulan pejuang etnik Rohingya ke atas pasukan keselamatan.

Kerajaan pada masa sama men­dakwa separuh daripada kampung Rohingya dibiarkan namun menyalahkan kumpulan pejuang sebagai pihak yang membakar kediaman dan menyerang orang awam.

Menurut kerajaan, hampir 500 orang terbunuh sejak konflik bermula 25 Ogos lalu dengan 400 orang daripadanya merupakan pejuang Tentera Keselamatan Ara­kan Rohingya (ARSA).

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Bangladesh merancang untuk membangunkan penempatan berasingan buat 6,000 kanak-ka­nak Rohingya yang memasuki ne­gara itu tanpa ibu bapa mereka semasa melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Jurucakap kerajaan, Nuruzza­man Ahmed berkata, kementerian kebajikan sosial meminta pihak berkuasa menyediakan 80 hektar tanah bagi memba­ngunkan kemudahan buat kanak-kanak tanpa ibu bapa dengan 1,580 daripada budak berkenaan telah mendaftar.

“Kanak-kanak berumur antara 13 dan 18 tahun terdedah kepada bahaya dan jika mereka tinggal bersama orang dewasa terdapat kemungkinan mereka dicederakan atau terlibat dengan kegiatan jenayah.

“Justeru kerajaan bercadang me­mi­sahkan kanak-kanak tanpa ibu bapa dan akan dibahagikan kepada dua kumpulan,” katanya. – Agensi