Keputusan tersebut bermakna mereka boleh dihantar pulang, sekalipun timbul kebimbangan mereka menghadapi penindasan atau kemungkinan dibunuh jika mereka kembali ke Myanmar.

Hakim mahkamah wilayah Ranong mengenakan denda 1,000 baht (RM105) ke atas setiap defendan tetapi oleh sebab mereka tidak mampu membayarnya, beliau menjatuhkan hukuman penjara lima hari ke atas mereka.

Pendatang berkenaan telah merayu agar mereka tidak dihantar pulang ke Myanmar, dengan mendakwa telah dipukul, disebat dan diberi amaran oleh askar Myanmar agar jangan kembali ke negara itu.

Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 78 pendatang Rohingya yang menaiki sebuah bot usang dan ditangkap oleh tentera laut Thai di Laut Andaman dekat pantai barat daya Thai, kelmarin.

Ramai antara mereka mempunyai kesan luka dan terbakar pada anggota badan mereka.

Ketua polis Ranong, Kolonel Weerasilp Kwanseng berkata, pendatang itu akan diusir dari Thailand setelah menjalani hukuman.

Empat daripada mereka dimasukkan ke hospital manakala 12 lagi yang di bawah umur ditahan oleh polis imigresen kerana terlalu muda untuk dibicarakan di mahkamah, kata Weerasilp.

"Kasihanilah kami, mereka (askar Myanmar) akan membunuh saya dan keluarga saya jika saya pulang," kata seorang pendatang, Mamoud Hussain, 50, di luar bangunan mahkamah wilayah Ranong.

Nasib pelarian Rohingya, kumpulan etnik beragama Islam yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar, menarik perhatian pada awal bulan ini berikutan tuduhan sesetengahnya telah dianiaya oleh pihak berkuasa Thai.

Pertubuhan hak asasi manusia mendakwa, tentera laut Thai menahan bot-bot yang membawa ratusan pelarian Rohingya dan menunda mereka balik ke laut lepas tanpa bekalan air atau makanan. - AP