Mail Online melaporkan, perlumbaan itu melibatkan pelari pecut China, Zhang Peimeng yang mempunyai rekod peribadi bagi larian 200 meter dengan catatan masa 20.47 saat dengan sebuah jet yang tidak pernah menjadi pencabarnya sebelum ini.

Dalam video pendek itu, pelari pecut terbabit dirakam sedang memanaskan badan sebelum dia mencangkung dan meletakkan tangannya di trek berhampiran jet pejuang berkenaan yang berada di landasan bersebelahan dengan Zhang.

Walaupun seorang pegawai lapangan dirakam mengibarkan bendera, tetapi Peimeng teragak-agak untuk memulakan perlumbaan sejauh 50 meter itu sehinggalah dia terdengar bunyi tembakan pistol yang biasanya digunakan dalam acara larian.

Atlet itu dirakam berlari sepantas mungkin tanpa menunjukkan tanda untuk memperlahankan lariannya termasuk melihat pencabarnya yang sedang memecut laju untuk berlepas di trek yang berada di sebelah kanannya.

Bagaimanapun, juruterbang itu sempat cuba melihat larian Peimeng, pelari yang pernah meme­gang rekod kebangsaan China bagi acara 100 meter dalam masa 10 saat.

Ketika perlumbaan hampir tamat dan mungkin memerlukan ulang tayang, Peimeng ternyata unggul apabila terlebih dahulu sampai di garisan penamat yang disediakan sekali gus menafikan cabaran jet pejuang berkenaan.

Video perlumbaan tersebut kini ditonton ribuan pengguna dalam talian dengan pengguna media sosial kebanyakannya memuji aksi bertenaga Zhang ekoran kejayaannya itu.