Geert Wilders (gambar) mahu menunjukkan filem pendek kontroversi Fitna yang menuduh Al-Quran mendukung keganasan, kepada Parlimen Britain namun pihak berkuasa negara itu memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan masuk.

“Setiausaha negara (menteri) mendapati kenyataan anda mengenai Muslim dan kepercayaan mereka dalam filem pendek Fitna dan di tempat lain, akan mengganggu keharmonian dan keselamatan awam di United Kingdom,” jelas Wilders kepada televisyen Belanda mengenai sepucuk surat yang diterima dari kerajaan Britain.

Wilders berdepan dengan dakwaan hasutan dan diskriminasi oleh sebuah mahkamah Amsterdam.

Pejabat Dalam Negeri Britain enggan mengulas mengenai larangan masuk yang dikenakan ke atas Wilders namun seorang jurucakap menyatakan bahawa kerajaan menghalang sebarang bentuk ekstremisme.

Wilders dalam filem tersebut mendesak umat Islam mengeluarkan ayat yang didakwa berunsur “kebencian” dari Al-Quran malah pernah membandingkan Islam dengan Nazi. – Reuters