Arahan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Agensi Pendidikan, Arie Budhiman melarang pelajar sekolah dasar, sekolah menengah, sekolah tinggi dan sekolah vokasional membawa kenderaan bermotor ke sekolah.

Perangkaan daripada Jabatan Polis Jakarta mendapati sebanyak 226,645 kemalangan jalan raya dilaporkan dari 2011 hingga 2012, dan 700 daripadanya melibatkan pemandu di bawah umur.

“Kita mendapati banyak pelajar memandu kenderaan ke sekolah, walaupun masih di bawah umur. Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga berbahaya kepada pelajar dan orang ramai,” ujarnya kepada Jakarta Post, semalam.

Mengikut undang-undang lalu lintas dan kenderaan darat, umur asas untuk memiliki lesen kereta atau motosikal ialah 17 tahun. Bagaimanapun, di Jakarta menjadi perkara biasa bagi pelajar yang tidak mempunyai lesen membawa kenderaan terutama motosikal ke sekolah.

Pihak berkuasa juga bimbang mengenai kesan negatif terhadap pelajar yang membawa kenderaan sendiri ke sekolah kerana mereka sering balik lewat dan bersiar-siar dengan motosikal ke tempat lain terlebih dahulu, selain terlibat dengan lumba haram.

Menurut Arief, pihaknya menggalakkan pelajar menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, selain menjamin keselamatan mereka.

“Guru-guru dan pengawal keselamatan sekolah perlu berada di pintu masuk sekolah setiap pagi dan pelajar yang datang dengan motosikal tidak dibenarkan masuk,” ujarnya.

Arief telah menghantar salinan surat arahan larangan tersebut kepada semua sekolah awam dan sekolah swasta di Jakarta. – UTUSAN