Duterte melancarkan kempen anti dadah selepas memegang jawatan Presi­den pada Jun tahun lalu, yang menyaksikan polis telah membunuh lebih da­ripada 4,200 pengedar dan pengguna bahan tersebut.

Beribu-ribu lagi telah dibunuh oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali yang digambarkan pihak berkuasa sebagai pembanteras jenayah atau anggota kumpulan gangster musuh.

Agensi penguatkuasa undang-undang merancang untuk meningkatkan kempen dadah dengan dilakukan ujian secara rambang terhadap guru dan juga pelajar berusia 10 tahun, satu tindakan yang dibantah jabatan pendidikan negara itu.

Ketua Lembaga Dadah Berbahaya (DDB) yang menjadi pembuat dasar, Catalino Cuy berkata, pi­hak­nya akan mengkaji ca­dangan mengukuhkan kempen pencegahan dadah di sekolah dan mengadakan dasar untuk memastikan pelaksanaan yang betul sekiranya perlu.

“Program pencegahan dadah di sekolah sudah sedia ada. Ini telah terbukti berkesan dalam menghalang penggunaan dadah dan memupuk pentingnya menjalani gaya hidup sihat dan bebas dadah dalam kalangan pelajar,” kata Cuy dalam satu kenyataan.

Menurut pegawai perhubungan awam DDB, Ella Marie Dimaculangan, rundingan dengan sekolah, ibu bapa dan ahli lembaga DDB yang lain, termasuk Kementerian Pendidikan akan dilakukan untuk memastikan hak pelajar di­lindungi dan keselamatan mereka dijamin.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan berkata , pihak­nya menentang pelan DDB yang memerlukan 14 juta pelajar sekolah rendah dari peringkat keempat hingga keenam menjalani ujian dadah kerana ia bertentangan dengan undang-undang.

“Jabatan Pendidikan meneliti cadangan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Fi­lipina (PDEA) untuk menguji semua pelajar berusia 10 tahun dan ke atas, ia mungkin perlukan pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya Komprehensif 2002, yang membenarkan ujian dadah dilakukan kepada pelajar sekolah menengah dan pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Pendidikan, Leoner Brio­-
nes juga sedang mengadakan pertemuan dengan ketua agensi penguatkuasa dadah untuk membincangkan program pencegahan dadah jabatan itu.

Jurucakap PDEA, Derrick Carreon berkata, agensi itu telah mencadangkan supaya peraturan dipinda agar pemeriksaan dadah mandatori dilakukan ke atas semua pelajar sekolah menengah dan universiti serta guru.

Beliau berkata, mereka juga mahukan ujian rambang dilakukan kepada pelajar sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun selepas beberapa kanak-kanak telah ‘diselamatkan’ dari sarang dadah semasa serbuan polis di luar Manila.– REUTERS