Menurut portal berita BBC, kira-kira 3,000 kakitangan di beratus-ratus Pejabat Pos Crown di High Street menyertai mogok tersebut bagi membantah perubahan polisi persaraan dan jaminan pekerjaan.

Namun pejabat pos tersebut dalam satu kenyataan berkata, kurang daripada 300 cawangan akan terjejas dan operasi berjalan seperti biasa di kebanyakan cawangannya.

Sementara itu, anak kapal pe­nerbangan British Airways yang menganggotai kesatuan sekerja serta kakitangan Swissport yang bekerja di 18 lapangan terbang di seluruh United Kingdom (UK) akan turut bermogok ekoran masalah kenaikan gaji.

Satu mesyuarat bertujuan membincangkan masalah tersebut dan menghentikan pelaksa­naan mogok terpaksa diadakan oleh pertubuhan Acas.

Ratusan pengawal syarikat perkhidmatan kereta api Southern Rail juga dilaporkan telah melancarkan mogok kali kedua akibat pertikaian mengenai peranan konduktor yang masih belum selesai hingga menyebabkan lebih 300,000 penumpang terjejas.

Profesor Roger Seifurt dari Universiti Wolverhampton berkata, ketegangan antara golongan pekerja dan majikan yang telah lama wujud dilihat semakin memuncak ketika ini kerana waktu perayaan Krismas merupakan tempoh terbaik untuk mendapatkan perhatian media.