Kajian yang dilakukan oleh kerajaan Jepun itu melaporkan, beratus-ratus kematian berlaku setiap tahun di negara ini membabitkan kerja berlebihan yang mengakibatkan angin ahmar, serangan jantung dan bunuh diri.

Selain itu, pekerja turut menghadapi masalah kesihatan serius yang membawa kepada kes saman di mahkamah.

Kajian itu merupakan sebahagian daripada kertas putih pertama negara ini terhadap ‘karoshi’ atau kematian akibat kerja berlebihan yang dikuatkuasakan oleh kabinet Perdana Menteri, Shinzo Abe, semalam.

Walaupun imej pekerja Jepun yang bekerja dalam tempoh berjam-jam setiap hari sebelum menaiki kereta api terakhir untuk pulang ke rumah semakin berubah, tetapi masih ramai yang menghabiskan masa berjam-jam di pejabat berbanding pekerja negara lain.

Menurut laporan kertas itu, sebanyak 22.7 peratus syarikat antara Disember tahun lalu dan Januari ini memaklumkan, pekerja mereka bekerja lebih masa selama 80 jam setiap bulan sekali gus memperlihatkan risiko kematian akibat kerja semakin serius.

Laporan itu menambah, kira-kira 21.3 peratus pekerja Jepun bekerja selama 49 jam atau lebih setiap minggu berbanding 16.4 peratus di Amerika Syarikat (AS), Britain (12.5 peratus) dan 10.4 peratus di Perancis.

Rumusan daripada kajian itu menyatakan, pekerja Jepun mengalami tekanan paling tinggi akibat kerja sekali gus mencetuskan gesaan agar syarikat-syarikat terlibat meningkatkan persekitaran kerja yang lebih baik. – AFP