ALABAMA 18 Julai – Pemilik sebuah syarikat khidmat pindah rumah di sini menghadiahkan sebuah kereta kepada seorang pekerja baharu kerana kesungguhannya berjalan kaki sejauh 32 kilometer untuk sampai ke tempat kerja selepas keretanya rosak di tepi jalan.
BBC melaporkan, Walter Carr berjalan kaki dari pinggir Birmingham menuju ke rumah pelanggan yang bakal berpindah sebelum ditemukan anggota polis yang melakukan rondaan dan dia dibawa untuk bersarapan dan dihantar ke tempat kerjanya.
Kisah kesungguhan Carr berjalan kaki ke tempat kerja menjadi tular dalam media sosial dan rata-rata pengguna internet memuji keazaman tinggi lelaki berkenaan.
Seorang pelanggan syarikat tersebut, Jenny Lamey dan suaminya menerusi status dalam Facebook menceritakan bagaimana dia bertemu dengan Carr yang dipertanggungjawabkan untuk membantunya pindah rumah.
“Pada hari berkenaan, saya dan suami bangun awal sebagai persediaan untuk menyambut kumpulan pembantu pindah rumah dan sekitar pukul 6.30 pagi, loceng rumah saya dibunyikan dan melihat Carr datang ditemani anggota polis.
“Anggota polis itu memberitahu kami bahawa dia bertemu dengan Carr di tepi jalan dan pemuda itu pula memaklumkan dia akan membantu kami pindah,” katanya.
Sehubungan itu, Lamey menyuruh Carr untuk berehat sebentar sementara menunggu rakan-rakannya datang untuk membantu proses pindah rumah, namun pelawaan tersebut ditolak oleh pemuda tersebut.
Sebaliknya, Carr terus melakukan kerjanya sehingga siap.
Selepas kisahnya menjadi tular, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Bellhops, Luke Marklin memandu dari Tennessee untuk bertemu dengan Carr.
Selepas berbual sebentar sambil minum kopi, Marklin menyerahkan kunci kereta kepada Carr.
“Secara jujurnya, saya berasa kagum dengan semangat Carr untuk melakukan tugas biarpun terpaksa jalan kaki sejauh lebih 30 kilometer,” ujarnya.
Carr yang nyata terkejut dengan pemberian tersebut melahirkan kesyukuran dan mengucapkan terima kasih untuk segalanya.