Keadaan itu menyaksikan orang awam terutamanya penduduk Buddha melarikan diri secara besar-besaran dalam ke­ganasan yang terburuk berlaku di Rakhine bagi tempoh lima dengan jumlah korban dikatakan meningkat kepada 104 orang manakala kumpulan-kumpulan bantuan terpaksa mengeluarkan kakitangan mereka daripada negeri ber­kenaan.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Pejabat Kaunselor Negeri mendakwa beratus-ratus pejuang dikenali sebagai Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) dalam beberapa kejadian te­lah meletupkan bom buatan sendiri dan membakar beberapa buah kampung dan me­­­­n­yerang lebih 10 pondok polis.

Serangan ke atas pondok polis itu melibatkan premis itu yang terletak di Nga­yantchaung, Minkhamoung, Yeaung Chaungwa, Taungpyo-Letwe, Nwayontaung dan Kyaukhlaygar yang kesemua­nya di Maungdaw.

Bersenjatakan bom buatan sendiri, kayu, tombak dan pedang, penjuang dikatakan menyusup masuk ke beberapa buah kampung dan pondok polis sebelum dipatahkan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan setakat ini, seorang anggota keselamatan dilaporkan hilang dan sekurang-kurangnya 500 kakitangan ke­­­ra­jaan dan pertubuhan bukan kerajaan melarikan diri ke ibu negeri Sittway dalam tempoh tiga hari berlakunya keganasan di Rakhine.

Xinhua juga berkata, akhbar Voice melaporkan kira-kira 400 buah sekolah ditutup selepas kumpulan pemberontak menyerang pasukan keselamatan dan pondok polis sejak hari Jumaat lalu.

Tentera Myanmar juga dilaporkan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan bergolak termasuk perkampungan etnik minoriti.

Berikutan itu, ribuan penduduk etnik Islam Rohingya terus membanjiri kawasan Su­­ngai Naf yang menjadi sempadan antara Myanmar-Bangladesh.

Pelarian yang berjaya memasuki Bangladesh semasa krisis sebelum ini diberi amaran supaya tidak membantu pelarian yang baharu.

“Jika ada antara kami memberi tempat tinggal kepada mereka, kami akan ditahan dan dihantar pulang, jadi oleh kerana takut, kami tidak membenarkan kemasukan pelarian baharu,” kata seorang etnik Rohingya, Mohammad Yunus. – BERNAMA/REUTERS