Perkara itu diputuskan oleh seorang hakim khas sejurus sebelum perbicaraan dijadual bermula.

Hakim perbicaraan, M.L. Tahiliyani berkata, peguam Anjali Washmare gagal mengisytiharkan beliau juga mewakili seorang saksi yang cedera dalam serangan tersebut, dalam satu kes tuntutan ganti rugi.

Menurut hakim itu, beliau akan melantik seorang peguam baru bagi suspek berkenaan, Mohammed Ajmal Kasab tetapi langkah itu akan menyebabkan permulaan perbicaraan yang ditunggu-tunggu itu tertangguh.

"Saya tidak mahu melantik seorang peguam muda atau kurang berpengalaman untuk suspek," kata Tahiliyani.

Kasab ialah satu-satunya anggota militan yang ditangkap semasa serangan pada November lalu yang menyebabkan 164 orang terbunuh.

Dia berdepan hukuman mati jika didapati bersalah atas 12 tuduhan jenayah termasuk membunuh dan melancarkan perang ke atas India.

Kasab dalam kemunculan pertamanya di khalayak umum kelihatan ketawa dan berbual-bual dengan dua lagi defendan, Faheem Ansari dan Sabauddin Ahmed, kedua-duanya warga India yang didakwa membantunya merencanakan serangan itu.

Pemuda itu hanya menjawab, "saya tidak tahu" dan "saya tidak ingat" apabila ditanya oleh hakim sama ada dia mengenali peguamnya.

Persiapan telah dilakukan untuk mengadakan perbicaraan di dalam sebuah bilik mahkamah khas kalis bom di penjara Mumbai tempat Kasab ditahan. - AP