Mail Online bagaimanapun melaporkan, pelantikan peguam dari Maryland, Abid Riaz Qureshi mungkin tidak kekal lama sekira­nya anggota Senat dari Parti Republikan menggunakan kuasa veto bagi menghalang calon pi­lihan Obama itu memulakan tugasnya.

Walaupun baki tempoh pentadbiran Obama hanya tinggal empat bulan, calon Presiden AS dari Parti Demokrat, Hillary Clinton dijangka tetap mengekalkan Abid untuk jawatan sama jika beliau menang pilihan raya pada November ini.

Namun, keadaan bakal ber­ubah jika calon presiden dari Parti Republikan, Donald Trump di­pilih ke White House kerana beliau dijangka memilih calon lain untuk jawatan tersebut.

Obama dalam satu kenyataan berkata, beliau yakin Abid akan memberikan khidmat terbaik kepada penduduk AS.

“Saya gembira melantik Abid. Saya yakin beliau akan berkhidmat dengan penuh integriti dan komitmen tinggi kepada sistem kehakiman,”katanya.

Peguam lulusan Sekolah Undang-Undang Harvard pada 1997 dan lepasan Universiti Cornell pada 1993 itu mempunyai pengkhususan dalam kes peni­puan dan pencabulan keselamatan.

Bagaimanapun, pengesahan lantikan Abid dari Senat hanya diketahui pada minggu pertama bulan depan.

Sementara itu, kumpulan Muslim Advocates menyambut baik pelantikan Abid dengan menyifatkan kepelbagaian membantu memastikan pentadbiran undang-undang yang adil dan pen­ting melibatkan orang Islam.

White House memberi pujian kepada usaha Obama membawa kepelbagaian kepada sistem mahkamah persekutuan dengan memaklumkan, Presiden itu te­lah melantik sebanyak 120 hakim persekutuan daripada golongan minoriti selain 138 terdiri daripada wanita.