PEGGY WHITSON
PEGGY WHITSON

Whitson, 57, yang masih ber­ada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) merupakan peme­gang rekod angkasawan wanita yang paling banyak melakukan misi berjalan di angkasa atau spacewalk selain wanita pertama mengetuai ISS sebanyak dua kali.

Awal bulan ini, angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Ang­kasa Lepas Kebangsaan (NASA), Shane Kimbrough menyerahkan tugasnya sebagai Komander ISS kepada Whitson.

Menurut laporan portal BBC, selain itu, beliau juga merupakan wanita paling tua yang berada di angkasa lepas.

Whitson pertama kali berlepas ke angkasa lepas pada tahun 2002 dan mengetuai ISS pada tahun 2007.

Beliau adalah pemegang ijazah lanjutan dalam bidang biokimia dan bertugas di Bahagian Penyelidikan Sains Perubatan NASA sebelum dipilih sebagai calon angkasawan pada tahun 1996.

Dalam satu sidang video antara Presiden AS, Donald Trump di White House dan ISS, angkasawan itu menjelaskan mengenai rasa terharunya atas kejayaan tersebut selain berbangga mewakili NASA.

Whitson turut memberitahu sedang menjalankan kajian me­ngenai kesan angkasa lepas ter­hadap tubuh angkasawan sebagai persiapan menjelajah planet Marikh pada tahun 2030.

“Cabaran paling besar untuk misi itu nanti adalah air. Kami membawa kuasa solar yang dikumpul untuk digunakan dalam pengasingan air kepada hidrogen dan oksigen,” jelasnya.