Setiausaha Negara, Rex Til­lerson berkata, keputusan sama ada untuk menutup kedutaan itu di sini sedang ‘dinilai’.

Lebih 20 kakitangan pejabat kedutaan itu mengalami ma­salah kesihatan antaranya gangguan otak, hilang pendengaran, pe­ning kepala dan loya.

Para pegawai AS percaya terdapat peralatan yang digunakan untuk menjejaskan kesihatan mereka namun Cuba menafikan sebarang penglibatan dalam isu itu.

Sekurang-kurangnya dua warga Kanada turut mengalami gejala yang sama.

“Ini merupakan isu serius yang menjejaskan beberapa individu,” katanya kepada CBS.

Walaupun siasatan telah dilakukan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Polis Royal Canadian Moun­ted dan pihak berkuasa Cuba, tetapi masih belum ada penjelasan lengkap punca insiden yang tercetus sejak hujung tahun lalu.

Presiden Cuba, Raul Castro di­laporkan secara peribadi memberi jaminan kepada pihak Ke­dutaan AS bahawa Cuba tidak terlibat dalam serangan tersebut.

AS membuka semula kedutaannya di sini pada tahun 2015 selepas membekukan hubungan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Pada tahun lalu, bekas Presiden AS, Barack Obama menjadi Pre­siden AS pertama melawat negara ini selepas lawatan bekas Presiden Calvin Coolidge pada tahun 1928.