Berikutan keputusan tersebut, dunia kini memberi tumpuan terhadap reaksi para pemimpin Asia dan pihak tentera yang sebelum ini memberi pelbagai maklum balas dan kritikan walaupun sebelum keputusan dibuat oleh PCA.

PCA melalui tribunal yang dianggotai lima panel hakim memutuskan China tidak mempunyai hak sejarah dan sumber-sumber asli dalam lingkungan ‘sembilan-sempang’ yang merujuk kepada garisan persempadanan peta perairan pada 1947 yang kaya dengan sumber gas, perikanan dan mineral.

Menurut PCA, hak sejarah itu telah terpadam dan tidak selari dengan zon ekonomi eksklusif yang diperuntukkan dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS).

Dalam keputusan setebal 497 muka surat itu, panel hakim ber­kenaan turut mendapati rondaan pihak berkuasa China telah menyebabkan perlanggaran dengan kapal nelayan Vietnam di beberapa bahagian perairan itu dan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap batu karang berikutan kerja-kerja pembinaan oleh China.

Dalam kenyataan PCA, China juga didapati telah mencabul hak kedaulatan Filipina di perairan tersebut.

“China telah mencabul hak Filipina dalam zon ekonomi eks­klusif dengan mengganggu aktiviti perikanan dan cari gali pet­roleum yang dilakukan Filipina di kawasan berkenaan melalui pembinaan pulau-pulau buatan manusia serta gagal menghalang nelayannya menjalankan aktiviti di zon tersebut,” katanya.

Selain itu, tribunal berkenaan turut memutuskan pertikaian berhubung kepulauan Spratly ‘tidak boleh mewujudkan zon maritim secara unit kolektif’ se­perti yang dituntut oleh Cnina.

Dalam pada itu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Perfecto Yasay menggesa agar semua pihak terlibat melaksanakan ‘ka­walan dan bersikap serius’ berhubung keputusan tentang perairan tersebut.

“Pakar kami sedang mengkaji keputusan yang menyebelahi Fili­pina dengan teliti,” katanya.

Menurut beliau, Filipina menghormati keputusan yang dibuat PCA. – AGENSI