Laporan itu dikeluarkan selepas Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC) mengadakan pertemuan di Incheon, Korea Selatan pada minggu lalu.

Laporan tersebut dilihat sebagai panduan saintifik utama untuk ahli-ahli politik setiap kerajaan melaksanakan Perjanjian Paris 2015.

Perjanjian itu bertujuan me­ngehadkan purata kenaikan suhu global jauh di bawah kadar dua darjah celsius di atas paras praindustri, selain memastikan usaha mencapai matlamat sebanyak 1.5 darjah celsius.

Peningkatan satu darjah celsius telah berlaku sejak perte­ngahan tahun 1800-an ketika sektor industri meningkatkan pelepasan gas karbon dioksida dan gas rumah hijau didakwa mempengaruhi perubahan ik­lim.

Laporan itu juga menyebut bahawa kenaikan suhu sebanyak 1.5 celsius masih memberi kesan terhadap alam semula jadi dan manusia, tetapi risiko itu lebih rendah berban­ding pertambahan suhu sehingga dua celsius.

Bagi mencapai sasaran tersebut, beberapa perubahan perlu dilakukan melibatkan penggunaan tanah dan tenaga dalam industri, pembangunan, pe­ngangkutan dan banda-bandar.

Selain itu, laporan tersebut menegaskan bahawa persetujuan dalam perjanjian untuk mengurangkan pelepasan gas dilihat tidak mencukupi biarpun berlaku pengurangan dalam skala besar selepas tahun 2030.

Pelepasan gas karbon dioksida global perlu dikurangkan sehingga 45 peratus menjelang 2030 dari 2010 dan mencapai net zero pada pertengahan abad bagi mengekalkan peningkatan suhu 1.5 celsius.

Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja IPCC, Jim Skea menjelaskan tindakan mengehadkan peningkatan suhu 1.5 darjah celsius boleh dilakukan melalui penguatkuasaan undang-undang, kimia dan fizik tetapi bagi mencapainya ia memerlukan sesuatu (tindakan) yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. – REUTERS