Sementara itu Washington mendahului desakan terhadap Beijing supaya mendedahkan jumlah etnik Uighur ditahan di semua kem tahanan mereka.

Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh sebuah panel badan dunia itu, kira-kira satu juta etnik Uighur dan pelbagai etnik minoriti Islam lain ditahan di kem tahanan di wilayah Xinjiang.

Premis dipercayai digunakan untuk menahan etnik Uighur itu di bawah pemantauan rapi tahun ini, dengan aktivis kemanusiaan menyifatkan pusat tersebut sebagai kem pendidikan semula politik.

Etnik minoriti itu didakwa ditahan secara paksa kerana melakukan kesalahan seperti memiliki janggut panjang dan memakai tudung.

“Majlis Hak Asasi Manusia mesti menghantar mesej yang tegas kepada kerajaan China bahawa kempen penindasan sistematik mereka di wilayah autonomi Xinjiang, termasuk penahanan sesuka hati sehingga satu juta orang, mesti dihentikan,” kata seorang penyelidik China di Amnesty International, Patrick Poon.

Kesemua 193 negara anggota PBB mesti melalui penilaian berkala oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Pada tempoh itu, China akan membentangkan laporan tentang keadaan hak asasi manusia di negara itu dan perubahan yang dibuat sejak laporan ter­akhirnya pada 2013, manakala diplomat dari seluruh dunia ber­peluang bertanyakan soalan ketika sebahagian daripadanya telah pun dikemukakan.

Satu persoalan oleh Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai tuntutan terhadap Beijing supaya menjelaskan berhubung tindakan kekerasan itu berkata: “Bolehkah China menjelaskan asas untuk melakukan jenayah terhadap amalan beragama yang aman sebagai alasan untuk menahan individu di dalam kem ‘pendidikan semula’ politik ini di Xinjiang serta pegawai yang bertanggungjawab melakukan dasar ini?”

Washington juga mahu Beijing menyediakan jumlah penduduk yang ditahan secara paksa di semua pusat tahanan di Xinjiang dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Britain turut bertanya, bila China akan melaksanakan cadangan oleh panel berkaitan diskriminasi kaum PBB iaitu Beijing menghentikan amalan menahan individu yang didakwa secara tidak sah, dibicarakan dan disabitkan atas kesalahan jenayah di mana-mana kemudahan tahanan mereka.

AS dan Jerman telah meminta akses PBB ke Xinjiang dan Tibet untuk menyiasat tuduhan penahanan beramai-ramai dan sekatan terhadap kebebasan beragama.

Beijing sebelum ini menafikan kewujudan kem tahanan itu namun kini mempertahankan kemudahan itu sebagai pusat pendidikan dan latihan vokasional, ketika pelajar gembira belajar bahasa Mandarin, meng­asah kemahiran pekerjaan, dan meneruskan hobi seperti sukan dan tarian rakyat.

Pegawai Cina mendakwa kemudahan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memerangi keganasan, pelampau dan pemisah agama di Xinjiang berikutan kekacauan yang menyebabkan beratus-ratus penduduk terbu­nuh sejak beberapa tahun ini.

Bagaimanapun satu siasatan AFP yang disiarkan pada bulan Oktober menunjukkan bahawa pihak berkuasa setempat telah membeli peralatan untuk pusat tahanan berkenaan termasuk belantan, cemeti, gari, sembu­ran lada, pistol renjatan elektrik dan kawat berduri.

“Kerajaan China berhutang beberapa jawapan kepada soalan antarabangsa tentang Xinjiang,” kata penyelidik kanan di Human Rights Watch, Maya Wang. – AFP