Siasatan oleh wakil khas PBB, Yanghee Lee ke Rakhine bermula Isnin ini dan dijangka mengambil masa selama 12 hari.

Selain Rakhine, Lee juga akan melawat sebuah lagi negeri yang bergolak berikutan pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Myanmar iaitu Kachin.

Keganasan di Rakhine semakin menjadi-jadi apabila tentera kerajaan menjalankan operasi kononnya untuk menghapuskan militan yang menyerang dan membunuh pengawai tentera sehingga menyebabkan puluhan ribu penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Lee menganggap insiden yang berlaku di Rakhine sebagai ‘sesuatu yang sukar untuk di­terima’.

Beliau mahukan satu siasatan segera dijalankan selepas dakwaan menyatakan terdapat ramai penduduk Rohingya dirogol, dibunuh dan diseksa oleh pihak tentera yang menafikan perkara berkenaan berlaku.

“Masyarakat antarabangsa per­lu lebih berwaspada dan memantau keadaan di Myanmar kerana krisis kemanusiaan telah berlarutan di situ sejak beberapa bulan lalu,” kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Myanmar dilaporkan mula meningkatkan kawalan ke­selamatan negara ini.

Langkah itu diambil susulan berita penangkapan seorang anggota kumpulan pengganas Daesh di Malaysia yang didakwa merancang melancarkan serangan terhadap negara ini tidak lama lagi.

Serangan itu mungkin dilancarkan ekoran tindakan dan layanan kerajaan Myanmar terhadap penduduk Islam Rohingya ketika ini.

“Enam unit pasukan polis telah dikerah bersiap sedia di bandar Yangon susulan berita penangkapan itu,” kata seorang pegawai kanan polis Myanmar, Min Zaw Oo seperti dilaporkan portal Mizzima.