Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Stephen O’Brien membuat rayuan itu selepas badan dunia berkenaan hanya menerima 15 peratus sumbangan berbanding sejumlah AS$2.1 bilion (RM9.2 bilion) yang diperlukan untuk negara berkenaan.

Data PBB menunjukkan, daripada jumlah itu, tiada sumbangan diterima daripada negara-negara Teluk.

“Keadaan di Yemen menghampiri malapetaka kemanusiaan yang paling teruk di dunia,’’ ujarnya kepada Reuters.

Beliau merayu sumbangan terutama dari negara-negara tersebut bagi membantu rakyat Yemen yang terperangkap dalam konflik berkenaan.

Kata O’Brien, agensi-agensi PBB telah berjaya menghulur bantuan kepada lima juta rakyat Yemen walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan untuk menyalurkan bantuan itu termasuk di pelabuhan-pelabuhan negara tersebut.

PBB telah mengisytiharkan kebuluran di beberapa bahagian selatan Sudan dan memberi amaran tentang kebuluran yang bakal melanda Somalia, selatan Sudan dan Yemen.

Konfederasi Pertubuhan Kebajikan Antarabangsa (Oxfam) menyeru negara-negara penyumbang untuk meningkatkan bantuan bagi menyelamatkan nyawa dan bukannya me­nyalurkan senjata bagi menye­marakkan lagi konflik berkenaan.

Agensi tersebut juga membe­ritahu, masyarakat dunia perlu menghantar mesej jelas bahawa tindakan menyerang pelabuhan Hodeidah di Laut Merah yang me­rupakan pintu masuk pelabuhan dan menerima masuk 70 peratus makanan import ke Yemen adalah ‘tidak boleh diterima langsung’.

Ketua Jawatankuasa Palang Merah (ICRC), Majd Farhat berkata, penduduk bandar itu yang berjumlah 1.1 juta orang amat bimbang dengan meningkatnya jumlah serangan.

ICRC telah membahagikan barangan import dari pelabuhan Hodeidah melalui kargo ke lapangan terbang Sanaa dan kemungkinan menggunakan jalan darat dari Oman. – Reuters