Rayuan itu dibuat oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ketika beliau melawat sebuah kem pelarian di Kem Hasan Sham di wilayah Kurdistan pada hari kedua lawatannya ke Iraq, semalam.

Katanya, PBB tidak mempunyai sumber mencukupi untuk membantu sekitar 400,000 orang pelarian.

“Malang sekali, program kami di sini hanya mendapat pembiayaian sebanyak lapan peratus dan ia menunjukkan betapa terbatasnya sumber kami.

“Pelarian ini yang te­rus menderita, akan terus sengsara, oleh itu kita perlukan lebih ba­nyak bantuan dan sokongan se­penuhnya daripada ma­sya­rakat antarabangsa,” te­gas Guterres.

Guterres berkata, sumber tiada untuk membantu meningkatkan keadaan hidup penduduk Mosul sekiranya bandar itu kembali ditawan sepenuhnya.

Menurut kenyataan PBB pada awal bulan ini, kira-kira 600,000 penduduk masih terperangkap di barat Mosul dengan 400,000 daripadanya terkepung di Kota Lama.

Tinggal di Mosul men­dedahkan penduduk kepada ancaman serangan tembakan, pengeboman dan serangan udara dengan pegawai hak asasi manusia PBB mendakwa, lebih 300 orang awam terbunuh di barat Mosul dalam tempoh sebulan.

Menurut pihak berkuasa Iraq, lebih 200,000 orang awam telah melarikan diri dari Mosul sejak perte­ngahan bulan Februa­ri dan kem penempatan sementara telah dibangunkan bagi menampung jumlah pelarian di sekitar bandar berkenaan. – AFP