PBB mengecam tindakan keganasan yang berlaku sejak bulan Ogos lalu dan menyifatkannya sebagai contoh penghapusan etnik, walaupun Myanmar menafikan dakwaan tersebut.

“Majlis Keselamatan menyeru kerajaan Myanmar memastikan tiada lagi aktiviti ketenteraan secara berlebihan dijalankan di ne­geri Rakhine.

“Kami juga menggesa mereka memulihkan pentadbiran awam dan menerapkan kedaulatan undang-undang serta mengambil langkah segera yang sesuai dengan peraturan dan komitmen mereka bagi menghormati hak asasi manusia,” kata organisasi terbabit.

Myanmar dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa kerana bertindak balas secara kejam susulan serangan dilancarkan oleh kumpulan militan Rohingya ter­hadap 30 tempat kawalan pasukan keselamatan.

Majlis Keselamatan juga menekankan kepentingan siasatan yang telus terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dilakukan oleh Myanmar.

“Kami mahu Myanmar untuk bekerjasama dengan semua badan, mekanisme dan instrumen berkaitan dengan PBB,” ujar organisasi itu lagi.

Myanmar bagaimanapun tidak membenarkan anggota panel PBB yang ditugaskan untuk menyiasat tuduhan itu, masuk ke negara tersebut.

Tambah PBB, tahap kehidupan semakin merosot di Rakhine dan bilangan jumlah pelarian yang terlalu ramai memberi kesan tidak stabil di rantau itu.

Selain itu, badan itu juga menuntut kerajaan Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan yang segera, selamat dan memberi akses kepada pihak media. – REUTERS