Lebih 150 penyertaan termasuk 62 penceramah dan 92 agensi kerajaan dan swasta dari kalangan yang terbaik dalam industri mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan yang mempamerkan inovasi, amalan terbaik dan keupayaan Malaysia dalam bidang tenaga dan teknologi hijau.

Maximus berkata, pembukaan Malaysia Pavilion mampu memberi inspirasi ke arah masa depan teknologi hijau.

Menurutnya, ia juga akan menjadi platform terbaik untuk mempamerkan keupayaan dan pencapaian negara dalam inovasi teknologi tenaga global yang mapan kepada dunia.

“Tema ‘Menjana Pertumbuhan Hijau’ dipilih bagi mencerminkan konsep utama ekspo, iaitu ‘Tenaga Masa Depan’ serta menonjolkan model hijau, dasar dan aplikasi yang telah diterimapakai bagi mencapai pembangunan mampan menjelang 2020,” katanya berucap pada majlis perasmian di sini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang dan Duta Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd. Rahman.

Beberapa aktiviti akan diadakan sepanjang tempoh ekspo yang berlangsung selama tiga bulan mulai 10 Jun hingga 10 September 2017.

Pavilion Malaysia, dengan keluasan 727 meter persegi itu terletak dalam tapak ekspo serba futuristik seluas 25 hektar yang dibina berhampiran pusat bandar raya Astana.

Pameran antarabangsa yang dikawal selia oleh Biro Pameran Antarabangsa itu dianjurkan oleh Kerajaan Kazakhstan di ibu negaranya Astana. - UTUSAN ONLINE