Daily Mail yang memetik Pihak Berkuasa untuk Perlindungan dan Pengurusan Angkor serta Wilayah Siem Reap (Apsara) melaporkan, kumpulan arkeologi berkenaan termasuk pakar dari Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura, menemukan patung setinggi 1.9 meter itu semalam.

Mereka menganggarkan tapak ‘hospital purba’ berusia antara lapan dan sembilan abad lalu dan artifak luar biasa itu merupakan antara patung terbesar pernah ditemukan.

Menurut pihak berkuasa Ap­sara, patung besar terbabit ditemukan secara tidak se­ngaja oleh kumpulan berkenaan yang sedang menjalankan kajian hu­bungan antara terusan dan kewujudan ‘hospital purba’ ter­babit.

Walau bagaimanapun, kedua-dua tangan serta kaki pada patung berkenaan dilihat terputus selain ditemukan tertanam sedalam 40 sentimeter dan akan dipamerkan kepada umum di sebuah muzium di Angkor Wat.

Apsara menambah, patung berkenaan dipercayai sekitar abad ke-12 atau ke-13, merupakan simbolik kepada ‘penunggu’ atau penjaga pintu masuk hospital tersebut yang dibina ketika pemerintahan Jayavarnam VII.

Sekitar tahun 2011, ahli arkeo­logi menemukan dua patung Buddha di kompleks kuil ber­kenaan.