Seiring dengan negara jirannya Malaysia, Jakarta mengubah pendekatan keras mereka itu sejak Rabu lalu dalam menangani isu orang hanyut dengan mengumumkan bahawa mereka akan mengambil orang hanyut itu dengan syarat ada pihak bersetuju menempatkan mereka atau menghantar mereka pulang dalam tempoh setahun.

Jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya berkata, sebanyak empat kapal tentera laut, dua buah ponton dan sebuah pesawat peninjau kini dikerah dalam operasi mencari yang bermula sejak petang kelmarin.

“Kami secara rasmi menerima arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (orang hanyut) sama ada di perairan Indonesia mahupun perairan antarabangsa.

“Kami akan menyelamatkan pendatang asing itu dan membawa mereka ke pantai,’’ katanya, sambil menambah kata, setakat petang semalam, masih tiada bot baharu orang hanyut yang dikesan.

Lebih 3,500 pendatang asing diselamatkan di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh sejak isu pemerdagangan manusia didedahkan awal bulan ini.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak lapan etnik Rohingya dari Myanmar ditemui dalam bot yang dinaiki kira-kira 200 penumpang yang diselamatkan oleh tentera Myanmar pada Khamis lalu, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kesemua penumpang itu adalah dari Bangladesh.

Dalam satu tinjauan di sebuah kampung pedalaman di barat laut Myanmar, lebih 200 penumpang yang diselamatkan diberi makan dan perlindungan di sebuah sekolah Islam di Kampung Kyauk Taw di negeri Rakhine.

“Kami tidak mempunyai pekerjaan dan serba kekurangan. Oleh itu kami menaiki bot itu. Namun mereka kemudiannya diminta membayar sebanyak RM6,500 untuk diseludup ke Malaysia,’’ kata Marmot Rarbi, 23 tahun.

Marmot berkata, dia sudah berada di dalam bot itu berlayar selama lebih tiga bulan dengan mendakwa ribuan etnik Rohingya turut berada dalam bot penyeludupan itu. – AFP/REUTERS