Pada tahun lalu, sebanyak 124 pasport Malaysia dilaporkan hilang di negara ini manakala bagi tahun ini sehingga September lalu pihak Kedutaan Malaysia di sini menerima laporan 87 keping dokumen tersebut hilang daripada simpanan pemiliknya.

“Kebanyakan kehilangan pas­­port negara ini berlaku di Pratunam, sebuah kawasan beli-belah terbuka yang terkenal di tengah kota Bangkok. Kehi­langan juga berlaku di pasar minggu Chatuchak.

“Antara punca utama ke­hi­langan pasport adalah kecuaian pemilik yang terlalu leka membeli-belah sehingga tidak sedar dokumen itu hilang,” menurut sumber kedutaan baru-baru ini.

Selain itu, sumber tersebut juga menyatakan bahawa meletakkan pasport di tempat yang salah sehingga boleh tercicir atau dicuri juga menyumbang kepada kes kehilangan dokumen berkenaan.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, negara ini merupakan satu daripada destinasi pelancongan utama rakyat Malaysia apabila seba­nyak 3.3 juta rakyatnya melawat Thailand pada tahun lalu.

Jumlah itu menjadikan rak­yat Malaysia sebagai kumpulan pelancong asing kedua terbesar melawat Thailand se­lepas China yang menyumbang lebih sembilan juta pelawat tahun lalu.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya ber­hati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan pasport hilang atau dicuri ketika bercuti ke negara ini.

Sumber tersebut menyatakan bahawa rakyat Malaysia perlu dididik untuk melihat pasport sebagai ‘nyawa kedua’ mereka setiap kali ke luar negara.

Ditanya kemungkinan punca kehilangan pasport Malaysia yang tinggi di Thailand dise­babkan dokumen itu menjadi sasaran sindiket penjenayah, sumber tersebut tidak boleh mengesahkan mahupun menolak kemungkinan ber­kenaan.

Bagaimanapun katanya, pas­port Malaysia ‘amat ber­kuasa’ dan tidak mustahil do­kumen itu menjadi buruan sindiket penjenayah teruta­manya yang terlibat dalam aktiviti pemalsuan pasport antarabangsa.

The Henley Passport Index mengiktiraf pasport Malaysia sebagai antara paling berkuasa di dunia kerana pemiliknya dibenarkan memasuki 166 negara tanpa memerlukan visa. – BERNAMA